Thursday 3 May 2012

liku-liku perjalanan(bab 1)

Harliza terdiam. Dipandangnya wajah di hadapannya. Wajah itu keruh. Ada sinar cemburu di sebalik pancaran sepasang mata itu. Tiada walau sekelumit senyuman di bibir itu. 
Harliza terpana. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Dia ingin bersuara tetapi suaranya seakan-akan tersekat di kerongkong. Dan sepasang matanya masih tertumpu kepada sesusuk tubuh tidak jauh darinya. Wajah itu dilihatnya sudah dialihkan ke kanan. Wajah keruh itu mengganggu emosinya.

Harliza menapak ke hadapan, mendekati insan di depannya. Dia tahu insan di hadapannya itu sedang berperang. Berperang melawan gejolak rasa sedih, kecewa dan marah yang bercampur baur. Ingin dicuba memujuk hati yang sedang kecewa itu. Ingin dicuba mengembalikan ria yang telah hilang dari insan itu. Ingin dicuba membenam marah yang membelenggu insan itu.

"Amri..," tegurnya dengan suara perlahan. Dia tahu saat itu dia perlu bijak menutur bicara. 

Menyedari Harliza mendekatinya, Amri menjauhkan diri. Dia mengelak dari berdekatan dengan Harliza. Atur langkah Harliza terhenti. Dia menghela nafas panjang, mencuba menenangkan perasaan. Dia tahu dia tidak boleh membiarkan emosi mengawal fikirannya saat itu.

"Amri...dengar dulu apa saya nak cakap," Harliza menyambung langkah yang terhenti. "Berilah saya peluang untuk menerangkannya," sambungnya dengan nada yang perlahan. Pun begitu dia yakin Amri dapat mendengar dengan jelas. Tiada sebarang reaksi dari Amri. Mustahil Amri tak dengar, detik hati Harliza. Dipandangnya Amri yang duduk atas batu sederhana besar di bawah pokok jambu batu. 

"Amri...," panggil Harliza lagi. Masih dengan nada perlahan. Dia sebenarnya bimbang untuk meninggikan volume suaranya kerana dibimbimbangi akan didengari pengunjung kawasan rekreasi itu. Itupun, dia perasan ada dua tiga orang pelanggan gerai tidak jauh dari mereka sesekali menoleh memandang ke arah mereka. Dia sebenarnya tidak bersetuju dengan pertemuan itu tetapi kedegilan Amri tidak betah untuk dia berkata tidak. Amri sudah terkenal dengan kedegegilannya.

"Cikgu pentingkan diri sendiri," tutur Amri tiba-tiba.  Keras nada suara Amri mengejutkan Harliza. Harliza menapak lagi menghampiri Amri. Kali ini Amri tidak berganjak.

"Kenapa Amri cakap saya pentingkan diri sendiri?" tanya Harliza. Dia kini berdiri betul-betul di depan Amri. "Saya tak faham, Amri," sambung Harliza.

"Cikgu sengaja buat-buat tak faham." Suara Amri masih kedengaran kasar.

"Amri terangkan kepada saya. Saya betul-betul tidak faham. Saya tak tahu apa salah saya." Harliza cuba memujuk Amri. Dia cuba mengawal nada suaranya agar tidak kedengaran kasar pada pendengaran Amri. Kali ini dia amat berharap perselisihan antara dia dan Amri dapat dileraikan. 

Harliza tidak berdaya lagi berdepan dengan sinar kemarahan pada wajah Amri. Dia tidak mampu lagi membiarkan sindiran-sindiran pedas Amri menusuk telinganya. Dia letih menangis tiap kali menatap surat-surat ejekan dari anak muda itu. Semua kesulitan dan pertikaian antara dia dan Amri perlu diselesaikan segera. Oleh kerana itu juga, dia bersetuju dengan kehendak Amri untuk bertemunya di situ.

"Amri...terangkanlah kepada saya perkara sebenarnya. Kita selesaikan masalah kita hari ini." Pujuk Harliza lagi.

Amri mendongak memandang Harliza yang berdiri mematung di depannya. Pandangan mereka bertentangan. Harliza masih menunggu butir bicara yang akan keluar dari mulut Amri. Sepasang mata Amri merah. Mungkinkah Amri menangis. Ah, tidak mungkin dia menangis, desis Harliza dalam hati. Tidak pernah dia lihat Amri menumpahkan air matanya. Kala memandang Amri, baru dia menyedari susuk tubuh itu dilihatnya makin kurus.

"Cikgu betul-betul tak faham dan tak tahu kenapa saya jadi begini?" soal Amri masih memandang Harliza.

"Ya, Amri...beritahu saya kenapa kamu benci sangat kepada saya," tutur Harliza lembut. Sekiranya boleh, mahu dipeluknya tubuh itu biar pemilik tubuh itu menyatakan dengan cepat apa sebenarnya yang berlaku. Dia benar-benar tidak sabar untuk mengetahui hakikat sebenarnya.

            ****************bersambung*****************



Bicara Buat Sahabat

Sahabat,
Kuterkenang saat-saat manis kala kita
Bersama

Sahabat,
Masih terdengar gurau sendamu
Melontar resah yang melingkariku
Menenggelam pilu jiwa ini
Mengeringkan pipi basahku dari mutiara jernih

Sahabat,
Masih terbayang raut mesra pesonamu
Senyummu membawa ria mendampingiku
Bak pelangi menghias alam selepas gerimis
Lupa daku pada duka yang menghimpit
Menyesak dada

Sahabat, 
Di mana dikau saat ini
Kemana kau bawa pergi sinar cahaya
Usah biar diri ini sepi
Sendiri....
 
Melati Putih/April 2012




Thursday 20 October 2011

Manfaat bersedekah

Rasa rugi untuk bersedekah...? Sedekah sebenarnya mempunyai beberapa manfaat..
1. Sedekah dapat mengundang rezeki
          Ali Bin Abu Talib pernah berkata, " Pancinglah rezeki dengan bersedekah."
2. Sedekah dapat menolak bala
3. Sedekah dapat menyembuhkan penyakit
           Nabi Muhammad s.a.w pernah menganjurkan sedekah dengan berkata, "Ubatilah penyakitmu
           dengan sedekah."
4. Sedekah dapat memanjangkan umur
           Nabi MUhammad s.a.w bersabda, "Perbayakkanlah sedekah kerana ia dapat memanjangkan
           umur."

Saturday 10 September 2011

Kem Kesihatan Dengan Kerjasama Pejabat Kesihatan Sik Dan PIBG Sekolah


                                                         Pameran dari AADK


Pameran pergigian

 
Pertandingan mewarna 


Pemeriksaan gigi

Tuesday 9 August 2011

Di senja itu

Sepi di senja itu
Ku terkenang citra lalu
Indah saat itu mendakap erat 
Saat bicara manisnya menyelinap sekeping hati
Damai hati ini...

Sepi di senja itu
Mutiara jernih ini
Berderaian laju
Membasahi pipi 
Kiranya bicara mengulit mimpi itu 
Hanya meniti di ulas bibirnya

Ke mana tenggelamnya janji 
Ke manakah terlontarnya secebis 
simpati

Sepi di senja itu
Ku panjatkan doa
Mohon di tabahkan hati
Buat meneruskan perjalanan
di bumi Ilahi








Sunday 17 July 2011

Jom jenguk aktiviti-aktiviti kat sekolahku.... ( SK Kota Aur )

Public Speaking Competition - cubalah sayang bercakap tentang tajuk yang diperoleh. Untung-untung menang...


Spell It Right Competition - Terteleng kepala juri mendengar peserta mengeja.



Saturday 16 July 2011

12 Langkah Memantapkan Bahasa Inggeris

PUTRAJAYA 8 Julai - Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan 12 langkah untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

Ia diluluskan Kabinet hari ini selaras dengan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikut langkah-langkah tersebut:

- Menambah seramai 13,933 guru Bahasa Inggeris (BI) termasuk 1,000 dari luar negara, 600 guru bersara dan 12,333 guru tambahan dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

- Menyediakan guru penolong BI gred DG41 bagi kelas besar melebihi 35 murid dalam tahun satu dan dua untuk meningkatkan masa perhubungan guru dan murid.

- Menambah waktu BI bagi sekolah kebangsaan (SK) tahap satu sebanyak 90 minit kepada 330 minit seminggu manakala tahap dua daripada 210 minit kepada 300 minit seminggu.

- Waktu BI bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) tahap satu pula ditambah daripada 60 minit kepada 120 minit seminggu manakala tahap dua ditambah daripada 90 minit kepada 120 minit seminggu.

- Menambah waktu BI bagi tingkatan satu hingga lima daripada 200 minit kepada 280 minit seminggu.

- Peruntukan waktu BI bagi Malaysian University English Test (MUET) tingkatan enam ditambah daripada 320 minit kepada 400 minit seminggu.

- Waktu BI bagi matrikulasi ditambah 100 peratus iaitu daripada tiga jam kepada enam jam seminggu.

- Program Sastera Kontemporari bahasa Inggeris Kanak-Kanak diperkenalkan kepada semua murid sekolah rendah tahap dua untuk mengukuhkan minat membaca dan memperkenalkan unsur-unsur sastera.

- Mewujudkan makmal bahasa Inggeris di sekolah-sekolah untuk memudahkan murid mempelajari bahasa itu dengan berkesan.

- Teknologi maklumat dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran BI melalui penggunaan perisian komputer yang sesuai.

- Pelajaran tatabahasa Inggeris diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran BI.

- Menyerapkan elemen sains dan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran BI untuk mendedahkan murid dengan istilah berkaitan dalam bahasa Inggeris.

SUMBER : http://www.utusan.com.my