Thursday 3 May 2012

liku-liku perjalanan(bab 1)

Harliza terdiam. Dipandangnya wajah di hadapannya. Wajah itu keruh. Ada sinar cemburu di sebalik pancaran sepasang mata itu. Tiada walau sekelumit senyuman di bibir itu. 
Harliza terpana. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Dia ingin bersuara tetapi suaranya seakan-akan tersekat di kerongkong. Dan sepasang matanya masih tertumpu kepada sesusuk tubuh tidak jauh darinya. Wajah itu dilihatnya sudah dialihkan ke kanan. Wajah keruh itu mengganggu emosinya.

Harliza menapak ke hadapan, mendekati insan di depannya. Dia tahu insan di hadapannya itu sedang berperang. Berperang melawan gejolak rasa sedih, kecewa dan marah yang bercampur baur. Ingin dicuba memujuk hati yang sedang kecewa itu. Ingin dicuba mengembalikan ria yang telah hilang dari insan itu. Ingin dicuba membenam marah yang membelenggu insan itu.

"Amri..," tegurnya dengan suara perlahan. Dia tahu saat itu dia perlu bijak menutur bicara. 

Menyedari Harliza mendekatinya, Amri menjauhkan diri. Dia mengelak dari berdekatan dengan Harliza. Atur langkah Harliza terhenti. Dia menghela nafas panjang, mencuba menenangkan perasaan. Dia tahu dia tidak boleh membiarkan emosi mengawal fikirannya saat itu.

"Amri...dengar dulu apa saya nak cakap," Harliza menyambung langkah yang terhenti. "Berilah saya peluang untuk menerangkannya," sambungnya dengan nada yang perlahan. Pun begitu dia yakin Amri dapat mendengar dengan jelas. Tiada sebarang reaksi dari Amri. Mustahil Amri tak dengar, detik hati Harliza. Dipandangnya Amri yang duduk atas batu sederhana besar di bawah pokok jambu batu. 

"Amri...," panggil Harliza lagi. Masih dengan nada perlahan. Dia sebenarnya bimbang untuk meninggikan volume suaranya kerana dibimbimbangi akan didengari pengunjung kawasan rekreasi itu. Itupun, dia perasan ada dua tiga orang pelanggan gerai tidak jauh dari mereka sesekali menoleh memandang ke arah mereka. Dia sebenarnya tidak bersetuju dengan pertemuan itu tetapi kedegilan Amri tidak betah untuk dia berkata tidak. Amri sudah terkenal dengan kedegegilannya.

"Cikgu pentingkan diri sendiri," tutur Amri tiba-tiba.  Keras nada suara Amri mengejutkan Harliza. Harliza menapak lagi menghampiri Amri. Kali ini Amri tidak berganjak.

"Kenapa Amri cakap saya pentingkan diri sendiri?" tanya Harliza. Dia kini berdiri betul-betul di depan Amri. "Saya tak faham, Amri," sambung Harliza.

"Cikgu sengaja buat-buat tak faham." Suara Amri masih kedengaran kasar.

"Amri terangkan kepada saya. Saya betul-betul tidak faham. Saya tak tahu apa salah saya." Harliza cuba memujuk Amri. Dia cuba mengawal nada suaranya agar tidak kedengaran kasar pada pendengaran Amri. Kali ini dia amat berharap perselisihan antara dia dan Amri dapat dileraikan. 

Harliza tidak berdaya lagi berdepan dengan sinar kemarahan pada wajah Amri. Dia tidak mampu lagi membiarkan sindiran-sindiran pedas Amri menusuk telinganya. Dia letih menangis tiap kali menatap surat-surat ejekan dari anak muda itu. Semua kesulitan dan pertikaian antara dia dan Amri perlu diselesaikan segera. Oleh kerana itu juga, dia bersetuju dengan kehendak Amri untuk bertemunya di situ.

"Amri...terangkanlah kepada saya perkara sebenarnya. Kita selesaikan masalah kita hari ini." Pujuk Harliza lagi.

Amri mendongak memandang Harliza yang berdiri mematung di depannya. Pandangan mereka bertentangan. Harliza masih menunggu butir bicara yang akan keluar dari mulut Amri. Sepasang mata Amri merah. Mungkinkah Amri menangis. Ah, tidak mungkin dia menangis, desis Harliza dalam hati. Tidak pernah dia lihat Amri menumpahkan air matanya. Kala memandang Amri, baru dia menyedari susuk tubuh itu dilihatnya makin kurus.

"Cikgu betul-betul tak faham dan tak tahu kenapa saya jadi begini?" soal Amri masih memandang Harliza.

"Ya, Amri...beritahu saya kenapa kamu benci sangat kepada saya," tutur Harliza lembut. Sekiranya boleh, mahu dipeluknya tubuh itu biar pemilik tubuh itu menyatakan dengan cepat apa sebenarnya yang berlaku. Dia benar-benar tidak sabar untuk mengetahui hakikat sebenarnya.

            ****************bersambung*****************



No comments:

Post a Comment